Menghargai Wira Pendidikan

19 May 2025- Hari ini, saya berbesar hati mewakili YB Senator Dr. Fuziah Salleh, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dalam menyampaikan kek sempena sambutan Hari Guru kepada 44 buah sekolah di sekitar Kuantan, termasuk Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Inisiatif ini merupakan tradisi tahunan yang bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan para pendidik yang sentiasa komited dalam mendidik anak-anak bangsa. 

Guru memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk generasi masa depan. Mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu pengetahuan, malah turut membentuk sahsiah dan nilai-nilai murni dalam diri murid. Pengorbanan dan dedikasi mereka wajar dihargai oleh semua lapisan masyarakat.

Dalam kesempatan ini, saya juga mengambil peluang untuk berbual dan berdiskusi dengan beberapa guru besar mengenai perkembangan semasa sekolah, pencapaian murid, serta cabaran yang dihadapi. Perbincangan ini memberikan gambaran yang lebih jelas tentang keperluan dan isu-isu yang perlu diberi perhatian, agar pihak berkaitan dapat menyalurkan bantuan dan sokongan yang sewajarnya.

Kami sentisa komited untuk terus menyokong usaha-usaha yang dapat meningkatkan kualiti pendidikan dan kesejahteraan warga pendidik. Semoga penghargaan kecil ini dapat menyuntik semangat dan motivasi kepada para guru untuk terus berbakti dengan penuh dedikasi.