Mesyuarat Bersama Pegawai MBK dan Peniaga di Jalan Besar & Jalan Mahkota

21-MEI 2025 .Pagi ini saya telah menghadiri satu sesi mesyuarat bersama pegawai-pegawai dari Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) serta wakil-wakil peniaga dari kawasan Jalan Besar dan Jalan Mahkota. Mesyuarat ini diadakan bagi membincangkan beberapa isu berbangkit yang telah lama dibangkitkan oleh para peniaga dan komuniti setempat. Saya bersyurkur, sesi berlangsung dengan lancar, dalam suasana harmoni dan penuh semangat kerjasama.


Saya amat menghargai kesediaan pihak MBK untuk hadir dan mendengar sendiri luahan, cadangan serta keresahan para peniaga yang telah lama beroperasi di kawasan ini. Ternyata, dengan adanya ruang dialog seperti ini, banyak salah faham dapat diperjelaskan dan penyelesaian yang praktikal dapat dicapai bersama.
Antara perkara utama yang dibincangkan dan telah dipersetujui bersama termasuklah:
Lokasi baharu bagi loading bay – bagi memudahkan urusan logistik para peniaga tanpa mengganggu aliran trafik di kawasan sekitar.
Penambahan ruang parkir – bagi menampung keperluan pelanggan serta memastikan kelancaran perniagaan dan pengunjung ke kawasan ini.
Pembukaan dua laluan tambahan dari Jalan Besar ke Jalan Mahkota – sebagai langkah mengurangkan kesesakan dan meningkatkan aksesibiliti.
Penyusunan semula lokasi tong sampah – untuk memastikan kawasan perniagaan kekal bersih, tersusun dan tidak mencemarkan pemandangan.
Isu berkaitan Pasar Karat di Jalan Besar – agar ia terus dapat dijalankan secara teratur dan tidak menjejaskan operasi peniaga tetap.

Kesemua cadangan ini telah mendapat persetujuan bersama antara MBK dan para peniaga. Saya berasa amat lega dan gembira melihat kedua-dua pihak berpuas hati dengan penyelesaian yang dicapai. Ini adalah bukti bahawa apabila semua pihak duduk semeja dan berbincang secara terbuka, banyak perkara dapat diselesaikan dengan baik. Tidak lupa, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli Majlis MBK, Tuan Haji Fahrul Zulkawi, yang banyak membantu dari awal proses lagi.
Saya ingin menegaskan komitmen saya untuk terus menjadi jambatan penghubung antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti perniagaan serta penduduk setempat. Saya percaya pendekatan turun padang, mendengar sendiri rintihan dan harapan rakyat, adalah langkah paling berkesan untuk membawa perubahan yang bermakna.
Saya akan terus berusaha sedaya upaya untuk memastikan setiap isu yang timbul mendapat perhatian sewajarnya, dan sebarang penyelesaian yang dicapai benar-benar membawa manfaat jangka panjang kepada seluruh warga Kuantan.
Saya akan terus komited dan konsisten dalam usaha memajukan kawasan Kuantan, menjadikan bandar ini bukan sahaja lebih maju, tetapi juga lebih mesra rakyat dan inklusif untuk semua.


