156 Rider Sertai Program Tukar Minyak Hitam Percuma di DUN Teruntum
Satu program khidmat masyarakat bertujuan membantu golongan B40 terutamanya penunggang motosikal penghantar makanan telah berjaya dilaksanakan pagi ini di Rumah Pangsa Alor Akar, DUN Teruntum. Seramai 156 peserta telah menyertai Program Tukar Minyak Hitam Motosikal Percuma, yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 4 petang.
Tujuan utama program ini adalah untuk meringankan beban kos sara hidup para rider yang bergantung sepenuhnya kepada motosikal dalam mencari rezeki harian. Menurut penganjur, lebih 70% daripada peserta program hari ini terdiri daripada rider penghantar makanan seperti Grab dan ShopeeFood.
Dalam satu perbualan bersama seorang rider ShopeeFood, beliau berkongsi bahawa biasanya perlu menukar minyak hitam dua kali sebulan dan kosnya mencecah sekitar RM65 bagi setiap kali servis, walaupun hanya menggunakan minyak semi-sintetik. Beliau amat terkejut apabila program ini menawarkan minyak fully syntetik secara percuma, sesuatu yang dianggap sangat membantu bagi golongan yang sentiasa berada di jalan raya.
Program ini dijayakan dengan kerjasama syarikat pelincir Hardex, KRT Alor Akar Selatan, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Kuantan, dan Persatuan Proaktif Teruntum yang diketuai oleh Saudara Muhammad Faris.
Turut hadir memeriahkan program ialah Ketua Cabang PKR Kuantan, Tuan Haji Fakhrul Zulkawi, Ketua Wanita Cabang Kuantan, Puan Sridayu Samsuri, serta pimpinan cabang dan barisan pasukan AMK.
Melihat kepada sambutan yang begitu memberangsangkan, pihak penganjur menyatakan komitmen untuk meluaskan program ini ke DUN-DUN lain dalam masa terdekat bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat yang sama.